Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima anugerah 'The
Star of Soekarno' yang diberikan Yayasan Pendidikan Soekarno (YPS) di
Jakarta malam tadi.
Anugerah itu sebagai pengiktitarafan terhadap ketokohan, keberanian
dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan suara hak asasi manusia di
peringkat antarabangsa.
Pengasas YPS Rachmawati Soekarnoputri yang mengalungkan pingat
bintang itu kepada Dr Mahathir berkata, penganugerahan itu adalah
sebagai tanda persahabatan dan pengiktirafan sumbangan para pemimpin di
peringkat dunia.
Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, walaupun beliau tidak pernah
bertemu dengan Surkarno, namun presiden pertama Indonesia itu merupakan
idolanya semasa beliau masih seorang pelajar.
Katanya, disebabkan itu, anugerah berkenaan sangat bermakna dalam
hidupnya kerana beliau dapat memiliki satu tanda kenangan yang berkaitan
dengan semangat Surkarno.
"Ketika Indonesia bergelut memperjuangkan kemerdekaan dari penjajahan
Belanda di bawah pimpinan Surkarno dan Hatta (Mohammad Hatta, Timbalan
Presiden pertama Indonesia), Malaysia belum lagi terbentuk dan masih di
bawah pentadbiran British dan semangat Sukarno kemudiannya mula menyerap
dalam kalangan pemimpin Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan,"
katanya.
Anugerah 'The Star of Soekarno' itu mula diberikan kepada para
pemimpin luar Indonesia pada 2001 dan selain Dr Mahathir, tiga penerima
lain ialah bekas Presiden Cuba Fidel Alejandro Castro Ruz, bekas
Presiden Venezuela Hugo Rafael Chavez dan Pemimpin Korea Utara Kim Jong
Un.
- Bernama
No comments:
Post a Comment